Tuesday 20 December 2011

Peranan Ustaz-Ustazah: Suatu Muhasabah

Posted by Aliff Basri | Posted in Uncategorized | Posted on 25-05-2009

{Beberapa Hari Lepas}- Liqa’ ringkas antara beberapa orang pemuda berjalan dengan suasana harmoni. Empat pasang mata saling melempar senyuman dan berkongsi cerita tentang pengalaman sepanjang minggu tersebut. Al-maklumlah, sudah hampir seminggu tidak berjumpa dan tiada tempat meluah perasaan, barangkali. Antara topik hangat ialah sikap para ustaz ustazah di sekolah-sekolah. Golongan yang ahli dalam aspek agama ini dikatakan tidak serius dalam mendidik anak murid (kesimpulan dalam perbualan yang berlangsung).

{Hari ini}- Isu ini sudah lama berlaku, tetapi macam tidak ada penyelesaian. Isu para ilmuan agama yang seperti tidak serius dalam mendidik anak-anak harapan negara. Tidak serius macam mana?
Senang cakap, ustaz ustazah masih belum menunjukkan potensi untuk menjadi seorang MUROBBI. 

MUROBBI yang benar-benar faham tugas dan tanggungjawab mereka dan benar-benar mahu mendidik anak murid mereka. Tugas mendidik bukanlah bermaksud datang tepat pada waktunya di sekolah, mengajar pendidikan Islam di sekolah, dan melaksanakan tugas-tugas pentadbiran sebagai seorang ustaz ustazah. Tapi mendidik ialah tugas memahami hati dan kehidupan mad’u dan memberikan ubat yang sesuai dan tepat untuk menyembuhkan penyakit yang ada pada anak-anak murid atau mad’u.Memang bukan mudah tugas ini, tapi ia adalah tanggungjawab.

Sedih saya bila dengar, ada dalam kalangan ustaz yang seakan-akan malu mereka diiktiraf sebagai ustaz. Panggil cikgu pun cukuplah. Perwatakan mereka seperti orang biasa dan title ustaz pada nama mereka hanya kerana mereka mengajar mata pelajaran pendidikan Islam. Watak tersebut seolah-olah valid hanya diperkarangan sekolah sahaja. Akibatnya, thiqah masyarakat untuk menjadikan mereka sebagai rujukan, semakin berkurangan.

Mungkin tindakan mereka untuk meraikan ahli masyarakat agar mereka tidak malu mendekati mereka, tetapi bagaimana dengan golongan yang tidak seperti masyarakat umum, yang memandang pakaian sebagai salah satu ciri untuk di-thiqah-i? Jangan kita menafikan golongan sebegini. Pendek kata, para ustaz kenalah pandai untuk memahami mad’u mereka bagaimana sifatnya. Ahli masyarakat mereka bagaimana sifatnya, supaya dakwah mereka betul-betl kena pada sasaran.

Wujud juga isu, pada masa kini, insan-insan atau segolongan individu yang tidak mengambil jurusan agama ini, mempunyai semangat untuk melihat Islam benar-benar tertegak dibumi Allah berbanding dengan insan-insan yang bergelar ustaz-ustazah. Dengan semangat yang ada, mereka belajar tentang Islam tetapi sistem pembelajaran mereka tidak seperti golongan yang beruntung seperti para ustaz ustazah. Mereka cuba berijtihad setakat ilmu yang mereka ada, tetapi ijtihad mereka dikatakan silap apabila disemak oleh orang yang ahli. Bahkan, semangat mereka ini benar, cuma jalan mereka salah. Mereka yang tidak ahli ini terpengaruh dengan cara pemikiran barat yang berunsurkan liberalisme, sekularisme dan pluralisme serta isme-isme yang lain. Dalam kalangan mereka wujud segolongan yang menyaluti isme-isme ini dengan Islam atau menghiasi isme-isme tersebut dengan Islam.

Akhirnya, wujudlah golongan Islam Liberal sebagai contoh. Ya, saya tidak nafikan, memang kewujudan fahaman-fahaman sesat tersebut ada dipengaruhi oleh agenda jahat musuh-musuh Islam, tetapi idea-idea tersebut dipandang betul oleh golongan individu yang bersemangat untuk lihat Islam hebat. Halusnya jarum kesesatan tersebut tidak dapat dibaca oleh para pendukungnya, bahkan  mereka yakin sungguh dengan tindakan mereka. Iaitu untuk memastikan masyarakat dapat melihat kehebatan Islam.
Umat Islam zaman ini berhadapan dengan krisis jati diri dan keracunan pemikiran yang kronik. Pada masa yang sama, amat kurang MUROBBI pada zaman ini. Siapalah yang sudi kiranya menginfakkan diri sebagai seorang MUROBBI pada zaman kehancuran sahsiah kini?

Malam tadi, ceramah dari TG AHmad Fahmi Zam Zam yang saya download melalui Kuliyah.net, amat menenangkan saya. Huraian beliau tentang bab kerohanian dari Kitab Hikam karangan Ibu ‘Ataillah memberi kesan pada hati yang kegersangan ilmu dan didikan para MUROBBI. Kata beliau, di zaman kini yang sangat kurang para MUROBBI, para ulama’ menyarankan umat akhir zaman ini mentelaah kitab-kitab karangan Imam al-Ghazali seperti Ihya Ulumuddin dan Minhajul ‘Abidin. Imam al-Ghazali memang seorang tokoh MUROBBI. Walau beliau sudah lama tinggalkan kita, tetapi, hasil karya beliau, jika dibaca dan diteliti, sangat memberi kesan pada jiwa. Seolah-olah beliau tahu apa sakit setiap hati umat akhir zaman.

Bila membaca kitab Minhajul Abidin, dalam keadaan yang tidak bersedia sekalipun, ia mampu untuk mengubati hati yang kegersangan petunjuk Ilahi. Apatah lagi kalau dibaca dalam keadaan yang bersedia (berwudhuk dan duduk dalam keadaan yang proper).Hendak sampaikan di sini bahawa, karangan beliau amat mutu dan berkualiti dari segi isinya untuk umat akhir zaman.

{Harapan}- Kepada bakal-bakal ustaz ustazah atau para ustaz ustazah sendiri pada masa kini, moga dapat menunjukkan potensi kalian sebagai seorang MUROBBI. Saya pun sebenarnya ada keinginan untuk menjadi seorang MUROBBI, tapi bila fikirkan ilmu yang ada, Ya Allah, jauhnya diri saya dari Allah dan ciri-ciri untuk menjadi seorang MUROBBI.

Ini ialah apa yang saya lihat, pandang dan dengar. Ia adalah hal ehwal semasa yang sedang berlaku. Moga kita dapat buat sesuatu untuk kembalikan watak para ustaz ustazah yang sebenar. Juga diri sendiri sebagai seorang insan.

Cerita Sang MUROBBI sangat bagus untuk ditonton oleh semua, terutama para pendidik.

MUROBBI Contoh


P/S: Sebenarnya, sudah lama dahagakan sentuhan dan didikan seorang MUROBBI. Tidak tahu  bila akan dapat.



http://aliffbasri.com/?p=564

No comments:

Post a Comment